Saturday, October 17, 2009

Kepentingan Sains Sosial...FSSK

Memahami Sains Sosial Lebih Dekatkan Diri

'Sains Sosial' dari sudut sejarahnya adalah bidang keilmuan yang dibangunkan oleh golongan sekular selepas barat menolak panduan gereja. Dalam mencari panduan yang boleh membahagiakan manusia selepas gereja ditolak, satu demi satu disiplin sains sosial dibentuk. Sosiologi,Sejarah, antropologi, sains politik, ekonomi, dan psikologi. Semuanya dibangunkan bagi menggantikan ’syariat’ Kristian, yang sememangnya tidak diturunkan untuk membina sebuah negara. Berbeza dengan kita syariat Islam.

Dari sudut yang lain, sains sosial dibangunkan daripada epistemologi dan metodologi sekular. Sejauh mana kajian empirikal yang didakwa berdasarkan kaedah kualitatif dan kuantitatif terhadap ’sample’ itu mampu menafsir gelagat dan tingkah laku sosial dan meletakkan hasil kajian itu dalam satu jadual yang seragam serta men’generalisasi’kannya untuk memahami sikap dan tingkah laku manusia yang sememangnya kompleks dan rencam?

Mungkin jawapannya Ya, jika kajiannya dalam Sains Tulen. Tetapi tidak dalam alam manusia. Kesimpulan yang dibuat dalam bidang sains sosial menghasilkan keputusan yang bersifat nisbi, relative, dan spekulatif ataupun dalam bahasa Quran, 'sangkaan kamu semata-mata’.

Jadi, perlukah kita tercari-cari satu paradigma baru untuk meninggalkan petunjuk wahyu yang bersifat mutlak dan menggantikannya dengan satu paradigma yang bersifat spekulatif dan relative. Bagi penulis tidak salah, namun sebagai seorang yang percaya pada adanya satu kuasa mentadbir seluruh alam, hendaklah paradigma tersebut selari dengan Quran dan Sunnah. Mudahkan?

Metodologi Sains Sosial yang diambil dari metode sains tulen, hanya boleh mengesan fenomena sosial yang membabitkan sunnahtullah. Mereka mengabaikan bahawa di sana terdapat iradah el syar’iyyah. Konsep kausaliti Islam, iaitu cause and effect telah meletakkan bahawa dalam setiap sebab dan akibat ada faktor 'penengah'nya iaitu Allah. Bahawa, sejauh mana kita melayan kehendak Allah dalam syariat-Nya, sejauh itulah Allah Taala akan melayan dan menunaikan serta membahagiakan manusia.

Inilah yang menjadi pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Konsep 'kausaliti' sekular yang diletakkan asasnya oleh Ibnu Rusyd yang kemudiannya menjadi konsep asas dalam metode Sains Sosial Barat, di mana menjalankan fungsi sebagai metodologi kepada sekularisme dalam membebaskan diri daripada panduan agama, dan menafikan faktor 'penengah' ini, iaitu Allah Taala.

Penulis bersetuju, untuk tidak menolak peranan sains sosial secara total. Syed Qutb dalam kitab 'Maalim fi el Thoriq', pada bab ‘Konsep Islam Terhadap Kebudayaan’ menjelaskan:

“Sesungguhnya haluan seluruh 'falsafah', dan haluan seluruh 'pentafsiran sejarah manusia' serta haluan seluruh 'ilmu jiwa' selain daripada beberapa detail tertentu, begitu juga haluan seluruh 'perbandingan agama' dan seluruh 'pandangan dan isme-isme kemasyarakatan' kecuali hasil yang berdasarkan research dan statistic, di dalam fikiran ala jahiliah, baik dulu mahupun sekarang, adalah terpengaruh secara langsung dan konsep jahiliah yang hampir seluruhnya bertentangan dengan konsep agama, terutama dengan konsep Islam"

Mungkin tidak dalam interpretasi sekular yang nampak jelas menolak Islam, tetapi mungkin akan terperangkap dalam persoalan epistemologi dan metodologi yang bahayanya lebih besar. Jika begitu, akan berlakulah kekacauan epistemologi dan semakin berpecah-pecahlah kesatuan umat. Bercampur-campur antara sekular dan Islam.

Kita masih ada di minda pemikiran dua kuasa, walaupun tidak meng'iya'kan secara jelas. Maka sedar atau tidak, kita sebenarnya telah membawa dua kayu ukur yang berbeza, dan sudah pasti akan terdapat perbezaan bacaan ukuran. Sampai bila pun kalau bacaan ini hendak disamakan ia tidak mungkin, kerana bertentangan dengan Sunnah Allah. Hanya apabila kita bersetuju ada kesilapan cara mengukur atau apa yang ukur, dan bersetuju mencari perbezaan untuk disamakan, barulah bermakna pertukaran yang diusahakan.

Allah sentiasa bercakap dengan mahluk. “’Alamal bil Qalam” Dzat yang mengajar manusia dengan Kalam apa-apa yang kita tidak tahu. Kalam Allah Taala itu adalah segala kejadian ciptaannya. Segala Sunnah Allah yang dapat kita rasai sepanjang hidup kita. Gerak kerja Allah Taala yang tidak pernah mengantuk dan tidak tidur. Qodha' dan Qadar-Nya yang memastikan segalanya berjalan mengikut kadar yang telah ditentukan termasuklah mukjizat (yang baik) atau sihir {yang tidak baik). Kefaham kepada Quantum sains akan memberikan gambaran jelas kepada berlakunya mukjizat.

Maka sekularnya pemikiran Muslim yang memisahkan kuasa baik dan kuasa jahat itu yang sebenarnya menjadikan mereka mendefinasikan sains sosial dibangunkan daripada epistemologi dan metodologi sekular. Pendekatan ilmu sains sangat telus, dan ikhlas. Maka sesiap sahaja yang cuba menjalankan penipuan, akan dengan sendirinya dihukum oleh Sunnah Allah. Di dalam bentuk tidak berjayanya mereka memperolehi keputusan yang baik, seperti diharapkan, di dalam menjalankan eksperiment yang dijalankan.


Dicatat oleh Rezza Khanafiah

No comments: